KOTA BHARU | Kerajaan Persekutuan bersedia untuk membawa cadangan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, cadangan itu akan dibawa setelah selesainya Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Bil.159 pada 9 hingga 11 Mac.
“Alhamdulillah, selangkah lagi kita ke hadapan, insya-Allah kita sudah bersedia untuk membawa dua cadangan tersebut.
“Saya juga sempat hadir sebentar untuk mengikuti perkembangan perbincangan ahli jawatankuasa,” katanya dalam satu kenyataan Facebook miliknya.
Beliau berkata, segala usaha sudah dicurahkan oleh ahli jawatankuasa tersebut bagi memastikan RUU terbabit lengkap. Katanya, ianya juga bersedia untuk dibawa ke peringkat seterusnya.
“Tahniah juga saya ucapkan kepada tiga lagi lantikan ahli jawatankuasa yang baru iaitu Nik Bahrum Nik Abdullah, Dr. Nurhafilah Musa dan Ahmad Jailani Abdul Ghani.
“Semoga dengan kehadiran mereka akan melancarkan lagi proses penggubalan perundangan Syariah utama mengikut Roadmap Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah 2020 – 2025 yang kita sasarkan,” katanya. – Journal Malaysia
Foto Fb Ahmad Marzuk Shaary