Beijing: Jutawan air minuman dalam botol dan pelabur vaksin China, Zhong Shanshan sekali lagi muncul sebagai individu terkaya di Asia.
Kejayaan itu dipengaruhi oleh senarai saham syarikat air mineralnya Nongfu Spring di samping syarikat farmasinya, Wantai Biological Pharmacy Enterprise yang memenuhi permintaan besar untuk alat ujian Covid-19.
Berdasarkan senarai individu terkaya Hurun Report yang berpangkalan di China, nilai bersih keuntungan Zhong melonjak menjadi AS$85 bilion (kira-kira RM349 bilion) dan ia menjadikannya orang terkaya ketujuh di dunia.
Memetik Harian Metro yang dilaporkan Bloomberg, Zhong yang digelar ‘serigala’ oleh Media Tiongkok kerana jarang diwawancara mencipta sejarah apabila mengumpul kekayaan dalam tempoh yang singkat.
Lelaki itu juga menjadi usahawan China pertama yang memasuki senarai individu terkaya global Hurun Repor, pada tahun ini.Ia menjadikan kedudukannya sebaris dengan pengasas Facebook (FB) Mark Zuckerberg dan pelabur Amerika Syarikat, Warren Buffett.
Menurut media tempatan, ia adalah satu pencapaian cemerlang bagi Zhong yang berhenti sekolah pada usia 12 tahun. – Agensi