KUALA LUMPUR | Penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memperkukuhkan lagi Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan parti politik peringkat nasional.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ke-49 secara atas talian hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau percaya dengan sejarah dan pengalaman politik yang panjang sejak penubuhannya pada tahun 1968 Gerakan mampu menjadi rakan komponen signifikan kepada PN.
“Jadi saya nak ucapkan tahniah dan selamat datang kepada semua perwakilan parti Gerakan (sertai PN).
“Saya amat yakin penyertaan Gerakan akan memperkukuhkan lagi PN sebagai sebuah gabungan parti politik di peringkat nasional yang terdiri daripada parti mewakili masyarakat pelbagai kaum, agama dan wilayah di negara ini,” katanya
Dalam ucapan lebih 15 minit itu juga, Muhyiddin berkata, Kerajaan PN sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kepelbagaian dan keterangkuman masyarakat Malaysia.
“Justeru kemasukan parti Gerakan adalah tepat pada masanya dalam memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik nasional yang menjadi lambang kepelbagaian masyarakat majmuk di negara kita.
“Insyaallah bertepatan dengan tema Satu Hati Gerak Bersama, saya berharap para perwakilan yang hadir pada hari ini dapat memanfaatkan persidangan untuk sama-sama berbincang dan melontarkan idea pandangan yang membina.
“Pandangan membina dalam usaha memperkukuhkan perjuangan dan hala tuju parti Gerakan serta memantapkan hubungan kerjasama dalam kalangan parti-parti komponen PN,” katanya.
Muhyiddin juga berharap agar Gerakan akan terus berkembang maju dan menyumbang kepada kekuatan PN dan kemakmuran negara. – Journal Malaysia
Foto FB GERAKAN