KOTA BHARU | Barisan pemain Kelantan United FC diingatkan tidak leka dengan dua kemenangan yang mereka raih dalam masa tiga hari pada saingan Liga Premier 2021.
Itu pesan Penolong Pengurus Pasukan, Nik Khuzaimi Nudin selepas skuad kendalian Akira Higashiyama membenam cabaran Perak II 2-1 di Kota Bharu, petang semalam.
Nik Khuzaimi berkata, skuad Sang Kijang Hijau perlu mengekalkan persembahan cemerlang bagi perlawanan akan datang kerana perjalanan liga masih panjang.
“Syukur pada Allah, kita diberi dua kemenangan setelah tewas perlawanan pembukaan tempoh hari. Semua pemain berjaya menampilkan persembahan hebat walau masih ada beberapa kesilapan mudah”.
“Saya mengingatkan kepada para pemain agar segera memperbaiki kesilapan itu dan tidak leka dengan dua kejayaan ini.
“Kami mesti kekal dengan sikap merendah diri agar perlawanan dengan JDT II dan Selangor II dapat kita hadapi dengan kejayaan penuh,” katanya memetik Unit Media (Official) KUFC
Tambahnya, jadual padat dengan perlawanan berselang tiga hari memang memenatkan namun beliau yakin tidak mustahil untuk mencipta kejayaan dengan berbekalkan semangat juang tinggi dari semua pemain yang menyarung jersi Kelantan United FC musim ini.
“Bukan mudah untuk mengekalkan kemenangan konsisten, apa yang penting pemain perlu fokus dengan setiap arahan pihak kejurulatihan dan menggunakan setiap kelebihan untuk diterjemahkan kepada keputusan positif,” katanya.
Kelantan United FC kini menghuni kedudukan kelima carta Liga Premier 2021 dengan memungut enam mata setelah melalui 3 perlawanan. -Unit Media (Official) KUFC
Foto FB KUFC See Less