JELI | Kira-kira 10 pengunjung yang berada di atas jambatan gantung di Lata Keding, di sini, terjatuh ke dalam anak sungai selepas struktur binaan jambatan itu runtuh.
Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu menyebabkan mereka yang cedera ringan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jeli.
Ada dalam kalangan mereka dikatakan sedang mengambil gambar di atas jambatan yang dibina sepanjang 40 meter itu.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, pihak polis mendapat maklumat terdapat 10 pengunjung berada di atas jambatan yang dalam pembinaan itu sebelum ia runtuh kerana tidak dapat menampung kapasiti muatan.
Katanya, mereka terjatuh ke dalam anak sungai dengan ketinggian lebih 4 meter.
“Ada yang cedera ringan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital dan sudah pulang ke rumah masing-masing.
“Notis mengenai pemberitahuan bahawa jambatan itu sedang dalam pembinaan sudah ditampal namun ada juga pengunjung yang tidak mengendahkannya dan kebetulan hari ini pekerja membina jambatan juga bercuti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.- Journal Malaysia.