Oleh Dr. Muhammad Faiz Na’aman
Rumpun Melayu ada kaitan awal dengan warga benua India silam yang hadir berdagang di Nusantara ini sejak sebelum wujudnya Empayar Srivijaya, mereka ialah warga Kerajaan Odisha (Kalinga) dan mereka tersebut bukan etnik Tamil (sepertimana Kerajaan Chola) yang datang kemudiannya. Ini kerana kajian menunjukkan Kerajaan Odisha merupakan kerajaan di benua India yang terawal berdagang melalui jalan laut dengan kerajaan-kerajaan silam di Indo-China dan Nusantara.
Warga Odisha (Kalinga) bertutur dalam bahasa mereka iaitu Odia, sejenis bahasa dalam kelompok linguistik Indo-Aryan (serumpun dengan Bahasa Hindi) yang tidak sama dengan Bahasa Tamil kerana Tamil tergolong dalam kelompok bahasa jenis Dravidian. Namun Kedua-dua kelompok bahasa jenis Indo-Aryan dan Dravidian tersebut banyak dipengaruhi istilah-istilah yang datang dari Bahasa Sanskrit sepertimana Bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Jawa di Nusantara.
Dari perkataan Kalinga inilah juga wujudnya perkataan Keling yang masih luas diguna-pakai oleh orang Melayu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak sehinggalah di Sumatera Barat (dipanggil Kaliang dalam loghat Minangkabau). Asalnya perkataan Keling tersebut bukan istilah yang menghina dan ia meliputi semua etnik yang hadir dari benua India.
Di Pulau Jawa juga pernah wujud kerajaan Jawa Hindu yang bernama Kalingga dipercayai kerana ada hubungan baik dengan kerajaan Kalinga (Odisha) di India ketika itu. Oleh kerana keturunan Rumpun Melayu ini terutama para pengasas Empayar Srivijaya termasuk Dinasti Sailendra (yang bina Candi Borobudur di Jogjakarta) dipercayai berasal dari keturunan Empayar Funan (Khmer) yang berpusat di Kemboja, maka ritual kepercayaan Hindu mereka termasuk senibina candi banyak persamaan berbanding ritual Hindu yang diamalkan oleh etnik Tamil di selatan benua India.
Maka hingga ke hari ini ritual serta budaya seni penganut Hindu di Bali (keturunan Jawa/ Rumpun Melayu) mempunyai perbezaan ketara dari amalan etnik Tamil Hindu di Malaysia walaupun agama mereka Hindu. Kerana asal usul penyebaran agama Hindu ke Nusantara awalnya bukan dari etnik Tamil kerana pencerobohan Chola hanya bermula di zaman kemuncak Empayar Srivijaya, tetapi agama Hindu dipercayai disebar di Nusantara silam oleh warga Odisha (Kalingga) dan juga pengaruh Funan (Khmer) yang muncul lebih awal.
Dr. Muhammad Faiz Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
22 Mac 2021
Pandangan ini tidak mencerminkan Journal Malaysia, ia adalah pendapat individu.