KOTA BHARU | Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan Lee Zii Jia.
Ucapan berkenaan dizahirkan Baginda yang dikongsikan menerusi facebook Istana Negara sebentar tadi.
Baginda juga mengharapkan kejayaan tersebut ini juga menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan Lee Zii Jia yang sekali gus menjulang dan mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Sesungguhnya, kejayaan beliau pasti menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.
“Seri Paduka Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Lee Zii Jia, semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama negara di persada dunia,” titah Baginda hari ini.
Baginda turut mengambil kesempatan imenzahirkan penghargaan kepada Persatuan Badminton Malaysia, di bawah teraju Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan barisan kejurulatihan atas kejayaan Lee Zii Jia.
Kejuaraan manis pemain nombor 10 dunia itu menamatkan kemarau negara memenangi kejuaraan tersebut.
Dalam kejohanan yang berlangsung di Birmingham itu Zii Jia menewaskan juara bertahan, Viktor 30-29, 20-22,21-9 pada aksi final di Utilita Arena, Birmingham.
Kali terakhir pemain Malaysia menawan bumi Birmingham adalah menerusi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei yang menjuarai Seluruh England pada edisi 2017 yang menewaskan pemain China, Si Yu Qi.