REYKJAVIK | Sebuah gunung berapi meletus hanya 40 kilometer dari ibu negara Iceland, Reykjavik semalam dengan mengeluarkan lava dan cahaya merah menyala ke langit ketika zon larangan terbang diwujudkan di kawasan itu.
“Letusan gunung berapi telah bermula di Fagradalsfjall. Kod warna penerbangan berwarna merah tetapi sangat sedikit pergolakan dilihat pada seismometer,” tulis Pejabat Meteorologi Iceland (IMO), yang memantau aktiviti gempa, di Twitter.
Aliran lava merah dapat dilihat keluar dalam rakaman video yang difilemkan oleh helikopter pengawal pantai dan dihantar oleh IMO di laman Facebooknya.”Rekahan dianggarkan sepanjang kira-kira 200 meter,” tulis IMO.
Pegawai polis dan pengawal pantai bergegas ke tempat kejadian malam tadi, tetapi orang ramai dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari kawasan itu.
Sistem gunung berapi Krysuvik, yang tidak mempunyai gunung berapi pusat, terletak di selatan Gunung Fagradalsfjall di semenanjung Reykjanes, di barat daya Iceland.
“Makluman pertama diterima oleh Pejabat Meteorologi pada 8.40 malam (waktu tempatan). Letusan itu disahkan melalui kamera web dan gambar satelit,” kata lembaga itu di laman webnya.
Walaupun Lapangan Terbang Antarabangsa Keflavik Iceland dan pelabuhan nelayan kecil Grindavik terletak hanya beberapa kilometer jauhnya, daerah itu tidak berpenghuni dan letusan tidak dijangka mencetuskan bahaya.
Letusan gunung berapi di wilayah ini dikenal sebagai letusan efusi, di mana lava mengalir keluar dari tanah dengan stabil, berbanding dengan letupan yang menyemburkan awan abu ke langit.
Menurut IMO, sistem gunung berapi Krysuvik tidak aktif selama 900 tahun terakhir, manakala letusan terakhir di semenanjung Reykjanes adalah hampir 800 tahun hingga 1,240 lalu.
Namun, wilayah itu telah diawasi selama beberapa minggu selepas gempa berskala 5.7 dicatat pada 24 Februari dekat Gunung Keilir di pinggir Reykjavik.Sejak itu, gempa itu disusuli sejumlah gegaran yang lebih kecil – lebih daripada 50,000 – jumlah tertinggi sejak rakaman digital bermula pada 1991.
Sejak gempa itu, kegiatan gempa bumi telah bergerak beberapa kilometer ke barat daya, berpusat di sekitar Gunung Fagradalsfjall, di mana magma dikesan hanya satu kilometer di bawah permukaan bumi dalam beberapa hari terakhir.
Pelepasan gas dari kedua-dua jenis gunung berapi – terutama sulfur dioksida – dapat meningkat di sekitar letusan, dan boleh membahayakan kesihatan serta boleh membawa maut.
Malah, pencemaran boleh melebihi had yang boleh diterima bergantung kepada angin. Gas itu ‘boleh menyebabkan masalah, kesukaran, dan kesan negatif terhadap kesihatan,” kata Agensi Alam Sekitar Iceland.
Iceland mempunyai 32 sistem gunung berapi yang kini dianggap aktif, jumlah tertinggi di Eropah. Secara purata negara ini mengalami letusan setiap lima tahun. – AFP