CYBERJAYA | Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melaksanakan beberapa tindakan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi gangguan air di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.
Tampil menjelaskan perkara tersebut, SPAN dalam satu kenyataan hari ini berkata, untuk tindakan jangka panjang, Kerajaan Persekutuan meluluskan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Tanjung Mas daripada kapasiti 10 juta liter sehari (JLH) kepada 30 JLH.
Menurut SPAN itu adalah bagi mengatasi ketidakcukupan bekalan air daripada loji-loji sedia ada yang membekalkan bekalan air ke hospital tersebut.
Kenyataan juga menyebut, projek dengan anggaran kos sebanyak RM50 juta itu, adalah di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dijangka siap pada penghujung tahun 2023.
“Secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan melalui PAAB melaksanakan projek menaik taraf tiga loji rawatan air termasuk LRA Tanjung Mas dengan anggara kos sebanyak RM 176 juta, bagi meningkatkan kapasiti reka bentuk kepada 80 JLH bekalan air di negeri Kelantan.
“Kerajaan Persekutuan melalui PAAB telah melaksanakan projek penggantian paip sepanjang 42 km di bandar Kota aharu, Kelantan,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam Journal Malaysia melaporkan, HRPZ II menghadapi masalah air sejak 10 tahun lalu dan keadaan itu amat merumitkan tugas harian yang mana bekalannya dapat bertahan sehingga tengah hari.
Mengulas lanjut, SPAN juga berkata, projek tersebut bertujuan menambah baik pembekalan bekalan air ke bandar Kota Baharu dan kawasan sekitarnya yang telah siap serta mula beroperasi pada 8 Mac lalu.
“Projek penggantian paip sepanjang lebih kurang 225 km sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB di seluruh negeri Kelantan, dan melibatkan anggara kos sebanyak RM 88 juta.
‘Ia bertujuan bagi mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) dan menambah baik pembekalan air di negeri Kelantan,” katanya.
Selain itu, SPAN juga telah meluluskan projek pembinaan paip secara terus dari Tangki Merbau ke HRPZ II.
Tambahnya, projek tersebut akan dilaksanakan oleh AKSB dan dijangka akan siap dan mula beroperasi selewat-lewatnya pertengahan Julai tahun ini.
“Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, AKSB telah melaksanakan kerja-kerja pengalihan paip t-off bagi menangani gangguan bekalan air susulan daripada penyiapan dan pengoperasian projek penggantian paip lama kepada paip baru yang dilaksanakan PAAB di bandar Kota Baharu.
“Setelah penukaran paip ini, kadar aliran air ke HRPZ II adalah berjumlah 32 hingga 42 m3/jam bagi wad lama dan 15 hingga 17 m3/jam bagi wad sajian serta 10 hingga 13 m3/jam bagi wad Fasa 1,” katanya.
Jelas kenyataan itu, kerja-kerja penukaran paip berkenaan telah siap 22 Mac 2021 (semalam).
Selain itu, SPAN juga telah melaksanakan program khidmat masyarakat dengan membina satu sistem tangki sedutan bawah tanah berkapasiti 13,500 liter.
Katanya, sistem berkenaan telah mula beroperasi pada 5 November 2020 bagi membekalkan bekalan air ke wad lama hospital tersebut.