KOTA BHARU | Masyarakat di Kelantan tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dalam menangani penularan Covid-19 dengan berlakunya pertambahan jumlah kematian yang direkodkan.
Sebagaimana dikongsikan facebook Jabatan Kesihatan Kelantan, hari ini seorang lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia membabitkan seorang wanita berusia 56 tahun.
Dengan kematian terkini itu, menjadikan seramai 23 orang pesakit Covid-19 meninggal dunia di seluruh Kelantan.
Wanita berkenaan yang mempunyai penyakit darah tinggi dan buah pinggang kronik meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai.

Berdasarkan data yang dikongsikan juga, kes harian di Kelantan mencatatkan pertambahan iaitu 65 kes baharu direkodkan berbanding 44 semalam dan menjadikan jumlah komulatif adalah sebanyak 5,730.
Selain itu, melihat kepada perkembangan semasa masyarakat juga perlu lebih berhati-hati apabila 13 kluster di Kelantan masih aktif dan terdapat pertambahan kes di kluster sedia ada.
Terdapat pertambahan 21 kes positif di kluster sedia ada iaitu 13 kes di Kluster Banggol Lepah, lima di Kluster Tembok Pengkalan Chepa, dua di Kluster Banggol Chicha dan satu di Kluster Jalan Long Yunus.
Sebanyak 1,384 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini di Malaysia dan enam kematian direkodkan termasuk satu di Kelantan.