KEDAH | Ketika mana rakyat masih terkesan dengan pandemik Covid-19, sewajarnya harga petrol dan diesel perlu dikekalkan untuk tempoh beberapa bulan lagi.
Perkara tersebut perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dengan mengambil kira masalah ekonomi yang masih belum selesai dan rakyat terjejas dengan situasi semasa negara.
Saranan terbabit disuarakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kuala Kedah, Najmee Abd Manaf.
Menurutnya, adalah wajar harga petrol dan diesel tidak naik untuk tempoh beberapa bulan sebelum ekonomi rakyat pulih sepenuhnya.
Katanya juga, langkah itu wajar seperti juga inisiatif kerajaan yang memberikan moratorium kepada rakyat.
“Memang harga turun naik petrol dan diesel mengikut pasaran minyak dunia namun jika harga naik kerajaan digesa menampung kenaikan itu demi rakyat.
“Kita faham beban yang terpaksa ditanggung kerajaan namun cadangan ini mungkin untuk beberapa bulan sahaja sehingga ekonomi rakyat pulih kembali,” katanya.
Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan tersebut sebagai satu lagi pakej rangsangan dan inisiatif untuk rakyat.
Hari ini kerajaan mengumumkan harga jualan petrol RON97 naik tiga sen seliter ke RM2.50 manakala harga petrol RON95 dan diesel kekal tidak berubah masing-masing pada harga RM2.05 dan RM2.15 bagi tempoh 25 hingga 31 Mac.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga baharu itu berdasarkan penetapan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).