PUTRAJAYA | Seorang pegawai Jabatan Imigresen (JIM) patah ibu jari tangan dalam satu operasi menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di dua restoran sekitar kawasan Kampunh Abu Bakar Baginda, Kajang dan Presint 11, di sini, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pegawainya tercedera semasa melakukan pemeriksaan di salah sebuah restoran.
“Ketika pemeriksaan dilakukan seorang lelaki warga asing telah bertindak di luar kawalan dan agresif dalam usaha melarikan diri.
Pegawai tersebut terus dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera. Pihak hospital mengesahkan ibu jari tangan pegawai tersebut patah dan diberikan rawatan lanjut.
“Manakala PATI terbabit berjaya ditahan oleh pegawai imigresen,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan itu seramai 29 PATI ditahan dalam Ops Selera yang dilakukan di dua buah restoran tersebut.
Katanya, operasi dijalankan ke atas premis tersebut berdasarkan aduan awam dan hasil risikan yang dibuat oleh JIM.
“Dalam serbuan terhadap kedua-dua premis ini, seramai 31 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 29 orang warga asing berusia antara 21 hingga 55 tahun telah ditahan.
“Warga asing yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Myanmar, 10 lelaki dan 11 wanita warga Indonesia serta tujuh lelaki warga India.
“Selain itu, tiga lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, PATI yang ditahan tersebut telah dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk melalui ujian saringan Covid-19.
“Setelah keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif, mereka dibawa dan di ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Justeru, siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua majikan mendapatkan pas yang sah dan mematuhi syarat bagi pengambilan pekerja asing.
“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.
“Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warga asing dan majikan yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Ujarnya lagi, orang ramai diminta supaya terus menyalurkan maklumat mengenai PATI supaya tindakan penguat kuasaan dapat dijalankan.