PASIR PUTEH | Dua bot nelayan Vietnam yang sedang ligat ‘merompak’ hasil laut negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, masing-masing di lokasi 107 kilometer (km) dan 144 km dari Kuala Tok Bali, di sini, semalam.
Rampasan kira-kira 1.2 tan ikan pelbagai spesies serta 21,000 liter diesel dilakukan termasuk dua bot terbabit dengan nilai keseluruhan RM2.5 juta.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kedua-dua bot itu ditahan dalam tempoh dua jam oleh Kapal Maritim (KM) Amanah yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut di sekitar perairan Kelantan.
“Bot pertama ditahan pada jam 10.23 pagi bersama lima awak-awak termasuk tekong manakala bot kedua ditahan pada jam 12.19 tengah hari bersama 14 awak-awak termasuk tekong.
“Tekong dan awak-awak bot kedua cuba meloloskan diri, namun, berjaya ditahan selepas dikejar dalam tempoh lebih dua jam.
“Bot-bot dan kumpulan nelayan terbabit dibawa ke pangkalan Maritim Malaysia di Tok Bali, namun, mengambil masa selama 22 jam untuk tiba berikutan keadaan laut bergelora serta angin kencang mencecah 60 kilometer sejam,” katanya.
Nur Syam Asmawie berkata, kesemua nelayan asing terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berusia di antara 16 hingga 60 tahun menjalani proses saringan Covid-19 sebelum ditahan reman bagi siasatan lanjut.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.