BANGKOK | Lebih 1,000 penunjuk perasaan prodemokrasi Thailand membanjiri persimpangan utama di ibu negara hari ini, tanpa mengendahkan arahan polis.
Tindakan pihak berkuasa menggunakan peluru getah bagi menyuraikan penunjuk perasaan hujung minggu lalu tidak memberi kesan, malah lebih ramai menyertai protes kali ini.
Mereka berkumpul di pusat beli belah utama di Bangkok sambil melaungkan slogan ‘bebaskan sahabat kita’ dan ‘hapuskan 112’, merujuk kepada undang-undang jenayah Thailand yang melindungi institusi diraja daripada sebarang kritikan.
Di pentas di tengah jalan raya turut terpampang sepanduk besar tertulis ‘pembaharuan monarki’ selain di sepanjang jalan terdapat penunjuk perasaan memegang sepanduk memaparkan gambar individu yang ditahan.
Di pentas di tengah jalan raya turut terpampang sepanduk besar tertulis ‘pembaharuan monarki’ selain di sepanjang jalan terdapat penunjuk perasaan memegang sepanduk memaparkan gambar individu yang ditahan.
Salah seorang pemimpin perhimpunan, Benja Apan berkata, tidak kira berapa ramai sahabat mereka ditahan, 10 atau beratus lagi, mereka tidak akan berhenti mengadakan perhimpunan.
“Ia tidak sesekali membuatkan kami mengalah, sebaliknya akan terus berjuang bersama,” kata yang turut berdepan beberapa pertuduhan memfitnah institusi diraja, kepada peserta demonstrasi berkenaan.
Susulan protes itu, jurucakap Timbalan Ketua Polis Thailand, Kissana Phathanacharoen, memberi amaran bahawa penganjurannya dilarang.
“Ini kerana kita kini di bawah perintah berkurung bagi mengelak penularan coronavirus dan pihak berkuasa akan menguatkusan undang-undang berkaitan secara tegas,” katanya.
Setakat ini, lebih 70 penunjuk perasaan dan pemimpin pelajar didakwa kerana menghina institusi diraja negara itu, sementara 12 individu ditahan di penjara.
Sekiranya didapati bersalah, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, tuntutan yang paling mengundang kontroversi adalah gesaan bagi reformasi monarki termasuk penghapusan undang-undang hina monarki yang tegar di negara itu.
Protes yang berlanjutan sejak Julai lalu itu turut menuntut peletakan jawatan oleh Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha dan pindaan Perlembagaan yang digubal tentera. – AFP