KOTA BHARU | Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menjunjung kasih di atas titah Sultan negeri yang menzahirkan penegasan mempertahankan kalimah Allah.
Antaranya titah Sultan Johor yang meminta kerajaan persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan isu berkenaan.
Yang Dipertua PUM, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, PUM dan umat Islam di negara ini menjunjung kasih di atas titah Sultan Selangor yang menyatakan dengan tegas melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam (Kristian).
Katanya, titah yang dizahirkan baginda amat bermakna bagi umat Islam di negara ini.
“Sebagai ketua agama bagi negeri-negeri, sudah tentu titah sultan dapat mengukuhkan usaha bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam.
“PUM melihat kalimah Allah adalah suatu yang khusus untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa bagi orang Islam dan dari sudut Bahasa Arab, ia bersifat ma’rifah, yang boleh difahami serta dalam bahasa Inggeris sebagai kata nama yang bersifat definite,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, PUM ingin menegaskan bahawa kalimah Allah adalah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa, berasaskan wahyu Allah di dalam al-Quran melalui Surah al-Ikhlas.
“Ia merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat kesempurnaan yang diimani oleh umat Islam.
“PUM Pusat menyokong tindakan proaktif Jabatan Mufti Selangor, Johor, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah sejak 2008 yang mewartakan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
“Kita juga menyokong penuh tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap kes itu bagi memperjuangkan kalimah Allah perlu dikekalkan kepada masyarakat Islam dan tidak digunakan sewenang-wenang oleh pihak lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Sultan Selangor menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan buku atau tulisan agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali di negeri itu.
Pada 17 Mac lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Muslim dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill lawan Menteri Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.