PADANG BESAR | Sebanyak 210 kilogram (kg) daun ketum dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi penugasan Op Benteng Covid-19 di Pos Kawalan BKC 7 berhampiran laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, kelmarin.
Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner, Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata dalam rampasan jam 2.30 petang, tiga anggota PGA dari Batalion 3 sedang menjalankan tugas rondaan ternampak enam longgokan guni putih yang ditinggalkan di situ.
“Pada mulanya anggota PGA menunggu dan membuat pemerhatian lebih kurang satu jam di kawasan berkenaan selepas mengesyaki longgokan guni berkenaan untuk tujuan penyeludupan.
“Bagaimanapun tiada individu tampil atau cuba menghampiri guni berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pemeriksaan selanjutnya mendapati guni berisi daun ketum seberat 210 kg itu dianggarkan bernilai RM6,000 dan semua rampasan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.
“Kita percaya bekalan daun ketum itu cuba diseludup keluar ke Thailand memandangkan kawasan berkenaan adalah kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan sering digunakan penyeludup untuk menyeludup ketum,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.