JOHOR BAHRU | Pil Captagon yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) baru-baru ini, dipercayai dadah jenis baharu yang biasa digunakan ahli militan dalam merangsang keberanian untuk melakukan kegiatan keganasan.
Perkara itu dijelaskan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang turut memaklumkan dadah berkenaan ‘belum ada’ di negara ini sepanjang tempoh empat tahunm menerajui unit berkenaan.
Beliau yang sebelum ini bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8), Cawangan Khas Bukit Aman berkata kebiasaannya militan seperti Abu Sayyaf di Selatan Filipina menggunakan syabu sebelum melakukan akriviti keganasan.
“Cuma saya difahamkan memang ia dadah baharu (Captagon), pasarannya untuk Asia Barat. Di sini (Malaysia) belum digunakan…Modus operandi dengan penggunaan syabu adalah sama, cuma dadah jenis baharu.
“Semasa berkhidmat di unit E8, saya tidak pernah dengar lagi dadah ini tetapi saya difahamkan Captogan ini boleh merangsangkan individu yang ambil pil itu…dari tidak berani menjadi berani…ia lebih kurang syabu (kesannya),” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Selasa lalu media melaporkan kejayaan Kastam mematahkan cubaan menyeludup 94.8 juta pil Captagon bernilai RM5.2 bilion dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 Mac lalu dianggar seberat 16 tan yang disorok dalam roda troli.