KOTA BHARU | Dua lagi kluster baharu dicatatkan di Kelantan membabitkan kluster tempat kerja dan komuniti.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Kelantan, Dr Izani Husin berkata, kluster pertama adalah Kluster Paya Rambai.
“Kluster tersebut melibatkan pekerja di sebuah premis perniagaan di Jalan Long Yunus, Kampung Paya Rambai di sini.
“Sehingga hari ini, kluster ini telah melaporkan 30 kes dari daerah Kota Bharu, Tumpat dan Bachok. Kes dalam kluster ini terdiri dari pekerja premis tersebut dan ahli keluarga terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kluster kedua adalah Kluster Pengkalan Nangka, Tumpat yang melibatkan empat keluarga besar di Kampung Pengkalan Nangka.
“Kluster ini telah melaporkan 20 kes yang merupakan ahli keluarga terdekat. Ianya masih tertumpu di daerah Tumpat.
“Kedua-dua kluster ini wujud ekoran dari tahap pematuhan S.O.P yang rendah dari komuniti dan di tempat kerja,” katanya.
ujarnya, rakyat Kelantan diingatkan untuk terus mematuhi S.O.P. norma baharu bagi menggelakkan jangkitan terus berlaku dalam komuniti.
“Kita semua sebagai rakyat Kelantan perlu memainkan peranan penting dalam usaha melandaikan keluk pandemik COVID-19 di negeri ini,” katanya.