STOCKHOLM | Pemain bintang, Zlatan Ibrahimovic menyifatkan kemunculan sulung bersama Sweden selepas lima tahun bersara seperti pertama kali beraksi.
Lapor Agensi, dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 awal pagi tadi, penyerang berusia 39 tahun itu memainkan peranan penting untuk membantu negaranya menang 1-0 ke atas Georgia.
Kali terakhir Ibrahimovic menyarung jersi Sweden pada Kejohanan Eropah (Euro) 2016, dan kemunculan terbaharunya ini adalah penampilan ke-117 bersama skuad kebangsaan.
Bintang AC Milan itu mengumpan bola untuk disempurnakan oleh Viktor Claesson pada minit ke-35 bagi memberi permulaan baik buat Sweden dalam aksi Kumpulan B.
“Rasa seperti perlawanan antarabangsa pertama saya, ada terlalu banyak tenaga.
“Saya fikir banyak lagi yang boleh saya lakukan buat pasukan tapi yang penting kami memenangi perlawanan ini,” katanya.
Pemegang rekod jaringan Sweden itu membentuk gandingan baharu bersama pemain berusia 21 tahun, Alexander Isak.