MUAR | Ketika mana pimpinan UMNO lantang bertegas tidak mahu memperjudikan kesemua kerusi miliknya pada PRU15 nanti, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini juga turut menyuarakan sisi ketegasannya dalam soal itu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), itu hari ini membayangkan yang kesemua kerusi pernah ditandingi parti itu pada PRU14 akan dipertahankan sekiranya UMNO tidak mahu bertoleransi melepaskan kerusi berkenaan pada PRU15.
“Lebih baik UMNO ambil semua 222 kerusi Parlimen. Jika UMNO menang dan dapat bentuk kerajaan, tidak mengapa. Tetapi kalau UMNO ambil semua kerusi, saya (Bersatu) pun hendak ambil semua.
“Satu lawan satu pun boleh, satu lawan dua pun boleh, satu lawan tiga pun boleh. Ini semua adalah politik,” katanya kepada kepada media selepas melancarkan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa Satu, Bandar Universiti Pagoh hari ini.
Sebagai pemimpin utama kerajaan dan parti, Ahli Parlimen Pagoh itu juga menyatakan pendirian positif dalam isu kerusi itu, yang mana beliau tidak mahu bersikap sombong diri kerana rakyat akan marah.
Katanya juga, setiap tutur bicara yang lantang dilaungkan di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hari ini juga amat difahami maksud sebenarnya memandangkan pernah berada di situ suatu ketika dahulu.
Perdana Menteri juga mengambil pendirian terbaik untuk membincangkan isu pembahagian kerusi dengan baik tanpa berdebat secara terbuka.
Katanya, buat masa ini perkara yang lebih utama adalah mengenai keperluan asas rakyat dan juga soal ekonomi.
“Bukan saya tidak boleh berpolitik, bukan saya tak boleh berbahas. Sebahagian kehidupan saya merupakan politik. Saya boleh berbahas dengan sesiapa sahaja, namun itu saya elakkan.
“Saya nak elak begitu bukan saya takut tetapi kerana rakyat akan resah, hidup susah, nak makan tiada duit, makan tidak cukup untuk alas perut. Saya tak tahu kenapa parti politik tak prihatin. Ada masalah lain yang perlu diberikan keutamaan,” katanya lagi.
Perdana Menteri juga berkata, dalam tempoh sebegini perkara pertama yang perlu diberikan perhatian adalah menguruskan pandemik Covid-19 dan keduanya pula pemberian vaksin dalam menentukan rakyat selamat serta sihat dan terakhir adalah pengukuhan ekonomi.
Hari ini, sempena PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan
dilaporkan berkata bahawa semua kerusi UMNO adalah milik parti itu dan ia tidak akan sesekali melepaskannya.
UMNO tidak akan mengalah dan memperjudikan mana-mana kerusi parti itu pada PRU15.