KUALA LUMPUR | UMNO perlu menjadi contoh dan merealisasikan proses meremajakan parti dan bukannya sekadar menjadi penghias ucapan pemimpin semata-mata.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, parti ini memerlukan idealogi dan cara kerja orang muda yang seringkali dipandang ringan oleh pemimpin-pemimpin parti.
“UMNO usah lagi memandang pemimpin kitar semula, tetapi lihatlah kepada anak-anak muda yang mampu memimpin dan memperbaharui parti ke arah lebih baik.
“Baik dalam pemilihan kepimpinan parti, mahupun pemilihan calon dalam pilihanraya, golongan pemimpin muda di dalam kepimpinan Pemuda UMNO hari ini wajar diberi perhatian yang serius untuk diangkat sebagai pemimpin.
“Barulah peremajaan parti bukan menjadi sekadar retorik, tetapi realiti yang pastinya perlu dimulakan oleh UMNO,” katanya hari ini menerusi kenyataan media.
Beliau juga turut sama menghadiri Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Perhimpunan Agung UMNO di PWTC hari ini.
Beliau juga Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut mengigatkan parti bagaimana dalam tempoh 22 bulan menjadi pembangkang.
Dalam tempoh itu katanya, di kala semua pemimpin parti buntu mencari halatuju dan kedudukan, Pemuda UMNO terbukti setia dengan parti dan memulakan langkah memperkukuhkan parti melalui pelbagai gerakan di semua peringkat Pemuda.
“Pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam pemilihan tahun 2018, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merupakan satu rahmat buat Pemuda UMNO, apabila beliau berani mengubah norma dan tradisi dalam UMNO yang sebelum ini tidak disukai ramai pihak.
“Pada waktu itu Pemuda UMNO tidak lagi dilihat mewah, tiada lagi perbincangan projek mega di Perhimpunan Agung UMNO, tetapi masing-masing ikhlas membawa agenda parti dan memperkasa bangsa Melayu serta agenda menyatupadukan umat Islam,” katanya.
Tegasnya, tidak boleh dinafikan bahawa Pemuda UMNO menjadi barisan hadapan, membawa agenda perpaduan sehingga tercapainya Muafakat Nasional bersama PAS yang pasti tidak pernah terfikir oleh kepimpinan parti sebelum ini.
“Dalam ketegangan ideologi pemimpin UMNO dalam kerjasama dengan Perikatan Nasional dan Parti Pribumi Bersatu, sekali lagi dapat dilihat kepimpinan Pemuda UMNO tetap teguh bersatu padu mempertahankan perpaduan di dalam parti.
“Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Dr Asyraf Wajdi hari ini wajar menjadi contoh teladan dan peristiwa-peristiwa sepanjang hampir tiga tahun ini wajar diambilkira sebagai medan ujian yang saya kira Pemuda UMNO telah lulus dengan jayanya,” katanya.