KUALA LUMPUR | Pemuda Umno Kelantan menggesa kepimpinan parti itu supaya “bercerai” atau memutuskan hubungan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta.
Memetik Malaysiakini, perwakilannya Wan Mohamed Rosman Hassan, berkata pihaknya mendesak kepimpinan Umno pusat “menjadi anak jantan” seperti kepimpinan Umno Kelantan.
“Akhir sekali kami sebulat suara menyatakan pendirian pada hari ini bahawa kami mahu kepimpinan pusat memutuskan terus hubungan dengan dengan kerajaan PN, keluar dengan serta-merta.
“Tidak perlu tunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), putuskan segera.
“Kita bukan nikah mutaah, tiada tempoh untuk bercerai. Kita ini janda kaya menjadi rebutan,” katanya.
Menurut Wan Mohamed Rosman lagi jika sebelum ini Pemuda Umno pernah didesak untuk menjadi anak jantan maka pada hari ini mereka menuntut dan mendesak semua ahli parlimen Umno menjadi jantan.
Justeru katanya mereka yang berkenaan perlu meletak jawatan sama ada yang dipegang dalam kabinet atau syarikat berkaitan kerjaan (GLC).
“Jadilah anak jantan seperti Pengerusi (Umno Kelantan) Ahmad Jazlan Yaacob, tanpa rasa takut dan gentar,” katanya ketika berbahas pada perhimpunan sayap Pemuda Umno hari ini.