KUALA LUMPUR | Tiga suspek utama warganegara Thailand yang terbabit dalam serangan terhadap dua anggota Pasikan Gerakan Am (PGA) pada 24 November tahun lalu masih dalam usaha ekstradisi pihak polis.
Ekstradisi tiga suspek itu membolehkan mereka ditahan dan didakwa di negara ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah menandatangani permohonan ekstradisi, baru-baru ini.
“Ia selaras dengan hubungan Malaysia-Thailand melalui perjanjian dimeterai di Bangkok, Thailand, 4 Mac 1911 iaitu ‘Treaty Between The United Kingdom and Siam Respecting The Extradition of Fugutive Criminals’.
“Selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 27 Oktober 1969, perjanjian ini dipersetujui untuk diteruskan sebagai instrumen ekstradisi di antara Malaysia dan Thailand,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Hamid berkata, PDRM komited untuk memastikan semua urusan disempurnakan supaya semua suspek dalam kes berkenaan dapat dibawa ke Malaysia dan proses undang-undang dapat dilaksanakan.
Dalam kejadian itu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, cedera selepas bertempur dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Perlis.
Susulan itu, polis giat memburu tiga suspek bagi membantu siasatan kes terbabit dan kini jumlah keseluruhan yang ditahan ialah 52 suspek, termasuk empat warga Thailand.