PASIR MAS | Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Asuhan atau Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) bagi mengelakkan kes penderaan berulang.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, penekanan terhadap perkara itu juga penting bagi memastikan soal keselamatan kanak-kanak dapat diberikan perhatian susulan tular video kejadian penderaan yang dipercayai berlaku di sebuah tadika, semalam.
Katanya, kementeriannya memandang serius isu berkenaan dan berharap tindakan tegas diambil agensi berkaitan dan pihaknya sudah dimaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan untuk kes itu.
“Kita akan meneliti balik suasana yang berlaku untuk memastikan yang pertama keselamatan, kementerian memandang serius isu ini dan kita mengharapkan mereka yang bertanggungjawab ini diambil tindakan dan dikenakan hukuman yang sewajarnya.
“Kita menyeru kepada masyarakat untuk melaporkan kepada pihak polis atau terus menghubungi talian KASIH 15999 jika mempunyai maklumat berkaitan kes seumpama itu untuk membolehkan tindakan segera dapat diambil,” katanya pada Program Malaysia Prihatin di Kompleks Tarbiyah Islamiah Chetok (KOMTIK) di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau menggesa orang ramai di Kelantan untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19 melalui MySejahtera.
Katanya, setakat ini hanya sekitar 177,000 penduduk di Kelantan telah mendaftar dan jumlah itu dianggap terlalu kecil.