KOTA BHARU | Islamic Aid Malaysia (AIM) memperuntukan RM250,000 untuk tuisyen khusus kepada murid luar bandar yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2021.
Presiden AIM, Zawahir Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 300 murid dari Kedah, 100 di Kelantan melalui program tanggungjawab zakat korporat Etiqa dengan memfokuskan kepada peningkatan tahap pendidikan luar bandar.
Katanya, Projek Community Outreach di bawah segmen pendidikan adalah untuk jangka masa panjang yang turut mendapat kerjasama daripada pejabat pendidikan daerah.
“AIM selaku badan bukan kerajaan (NGO) pelaksana akan mengendelikan serta memantau program khususnya daripada segi agihan bantuan kewangan, selain mendapatkan maklum balas prestasi murid secara berkala untuk melihat keberkesanan program ini.
“Selain itu, program ini turut membabitkan kelas tuisyen yang bermula pada April sehingga Julai ini, yang menumpukan lima subjek teras utama iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu kertas dua.
“Bagi memastikan projek dijalankan dengan jayanya, murid turut diberikan modul pembelajaran serta buku latih tubi untuk membolehkan mereka membuat latihan serta rujukan,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Bantuan Pendidikan Peringkat Negeri Kelantan di Pejabat Penggawa Daerah Salor di sini.
Katanya, walaupun kos agak tinggi, namun ia sangat berbaloi kerana dapat menaikkan keputusan UPSR dan pelajar dapat pergi ke sekolah asrama penuh termasuk MRSM, Sekolah Menengah Sains dan sebagainya.
“Di Kedah, kita dapati pendapatan ibu bapa boleh kata 95 peratus semua bawah RM1,000 sebulan iaitu anak petani, penoreh getah, pekebun kelapa sawit dan sebagainya.
“Di Kelantan, dua sekolah terpilih untuk program ini iaitu Sekolah Kebangsaan Salor dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum.
“Atas dasar prihatin kepada kesusahan murid yang rata-rata berasal dari keluarga kurang berkemampuan, pihaknya turut menyediakan bantuan makanan kepada anak-anak terbabit,” katanya.