KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak pernah bermuslihat dengan parti lain, sebaliknya sentiasa memastikan negara ditadbir dengan integriti dan pada masa sama kebajikan rakyat terbela.
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu teguh dengan pendirian tidak mencampuri urusan mahkamah dan menghormati kedaulatan undang-undang apabila menjadi kerajaan menerusi Perikatan Nasional (PN).
“Saya rasa tak ada sesiapa persoal kejujuran dan keikhlasan BERSATU menjaga kepentingan rakyat serta kepentingan bangsa dan agama.
“Sehinggakan bila kita diasak sekalipun, kita tetap tumpukan menjaga kebajikan rakyat. Kita tidak pernah bermuslihat,” katanya kepada BH, hari ini. Beliau mengulas keputusan UMNO memutuskan hubungan dengan BERSATU untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020, dilaporkan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menghadapi PRU-15 bersendirian dan tidak akan bekerjasama dengan BERSATU. Ahmad Zahid turut berkata, UMNO menolak pembentukan gabungan politik bersama PN.
Tambah Wan Saiful, rakyat menjadi hakim bagi menentukan parti mana yang jujur dan prihatin terhadap nasib rakyat serta siapa bermuslihat untuk kepentingan lain. – BERITA HARIAN