SELANGOR | Alahai…Macam-macam berlaku. Gara-gara lambat memasak rendang ayam, si suami yang berusia 67 sanggup menampar isterinya sendiri.
Bukan itu sahaja, media tempatan hari ini melaporkan si suami terbabit turut meludah muka isterinya yang sudah berumur 66 tahun itu.
Kejadian tersebut berlaku di rumah pasangan terbabit di Jalan Pinang, Kampung Melayu pada Ahad lalu.
Mengikut, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kejadian berlaku 10.30 pagi dan siasatan awal mendapati pertengkaran berlaku berpunca daripada mangsa yang lambat memasak rendang ayam.
Pertengkaran tersebut berlarutan sehingga ke dalam bilik dan kemudiannya si suami bertindak duduk di atas badan si isteri sebelum meludah ke mukanya.
Tidak cukup dengan itu, si suami dikatakan mahu mencekik si isteri namun mangsa melawan sehingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh dari katil.
Kes disiasat Polis di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.