KOTA BHARU | Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan tidak menolak kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Kelantan disebabkan majlis kenduri dan keramaian selain perhimpunan masyarakat.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin berkata, terbaharu, Kluster Gong Kulim, Pasir Puteh membabitkan perhimpunan masyarakat menjadi penyumbang kepada peningkatan kes di negeri itu semalam.
“Kluster itu tercetus akibat satu perhimpunan yang diadakan baru-baru ini.
“Butiran yang selanjutnya mengenai perhimpunan itu tidak dapat didedahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Auditorium Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu, hari ini.
Difahamkan kluster Gong Kulim berpunca daripada satu perhimpunan agama di Pahang baru-baru ini.
Dr Zaini berkata, kluster Gong Kulim mencatatkan 25 kes positif daripada 123 orang yang disaring.
“Orag ramai terutamanya rakyat Kelantan digesa terus mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan walaupun kenduri kahwin dan tahlil dibenarkan.
Semalam, Kelantan mencatatkan peningkatan tertinggi selepas Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ditamatkan dengan kes baru sebanyak 138, berbanding dengan 86 kes pada hari sebelumnya.
Ini kali pertama kes harian di Kelantan mencatat tiga digit sejak 20 Feb lalu.