KUALA LUMPUR | Muafakat Nasional (MN) dipelopori oleh UMNO dan PAS atas teras penyatuan ummah yang berusaha untuk mencapai Malaysia yang sejahtera.
Ahli Jawatankuasa Perunding MN, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, melalui MN, tonggak utama Perlembagaan Persekutuan dan jati diri asal Malaysia dipertahankan, seterusnya menginspirasikan satu citra baru untuk kesejahteraan Malaysia.
Katanya, ketika perisytiharan MN pada 14 September 2019, UMNO adalah anggota Barisan Nasional (BN), manakala PAS bersama-sama dengan Gagasan Sejahtera (GAGASAN).
“Secara tidak langsung MN turut membabitkan pemuafakatan antara BN dan GAGASAN, yang masing-masing gabungan diwakili oleh UMNO dan PAS.
“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, MN bersetuju supaya kerusi itu ditandingi oleh MCA yang juga parti komponen BN, sebaliknya BERJASA yang merupakan parti gabungan GAGASAN tidak bersetuju lalu mereka meletakkan calon.
“Kesan daripada tindakan BERJASA itu tidak menjejaskan hubungan dalam MN, hanya GAGASAN yang bergolak. Menjelang PRN Sabah usaha dilakukan untuk mendaftar Perikatan Nasional (PN) sebagai satu gabungan parti di Malaysia sama seperti BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Menurutnya, dengan pendaftaran PN dan PAS salah satu penajanya, maka terdapat empat gabungan parti politik berdaftar di Malaysia. Manakala GAGASAN kekal sebagai gabungan parti politik yang tidak berdaftar.
Katanya, GAGASAN tidak menonjol dalam persada politik Malaysia masa kini, namun ia terus wujud berperanan menyumbang dalam kerajaan secara langsung dan tidak langsung. Terdapat juga cadangan supaya parti yang bersama PAS ini menyertai PN yang sudah berdaftar.
“Ketika PRN Sabah wujud satu lagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada parti politik yang berada dalam PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS). GRS bukanlah satu gabungan berdaftar, sebaliknya gabungan longgar sebagai pakatan menghadapi pilihan raya dan membentuk kerajaan selepasnya.
“Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan Negeri pada realitinya tidak dibentuk oleh sesebuah gabungan parti politik sama gabungan berdaftar atau tidak berdaftar.
“Kerajaan Persekutuan umpamanya, bukanlah Kerajaan PN kerana BN dan GPS tidak berada di dalam PN. Ia hanya satu persefahaman membentuk kerajaan bersama antara PN, BN dan GPS,” katanya.
Beliau berkata, apabila UMNO menyatakan mereka tiada hubungan dengan BERSATU selepas Parlimen dan DUN dibubarkan bukanlah satu keputusan yang pelik kerana hubungan kedua-dua parti hanyalah persefahaman membentuk kerajaan sahaja. Demikian juga GPS, kelihatannya selepas pembubaran, mereka juga akan hadapi PRU ke-15 sendirian.
“Melihat kepada kerencaman politik Malaysia dengan kepelbagaian gabungan parti, iaitu PN, BN, GPS, PH, GRS dan GAGASAN, persoalan yang timbul ialah, di mana MN? Sebenarnya, MN adalah lawan sebenar kepada PH. Dengan erti kata yang lain, sekiranya berlaku pertembungan dua pihak terbesar dalam PRU ke-15, ia adalah MN dan PH.
“MN perlu menjadi pengikat kepada PN, BN dan sebolehnya sekali dengan GPS. Peranan sebagai pengikat inilah yang perlu dimainkan oleh kedua-dua pelopor MN iaitu Umno yang mewakili BN dan PAS yang boleh dilihat mewakili PN. Sekiranya boleh diusahakan ada wakil pula dari GPS, ia adalah yang paling baik untuk melengkapkan tujuan MN ke arah integrasi nasional.
“Semangat dalam MN tiada abang besar dan tiada adik kecil, yang ada hanyalah rakan kongsi (PN, BN dan mungkin GPS) yang berhasrat untuk mempertahankan tonggak Perlembagaan Persekutuan dan jati diri asal Malaysia,” katanya.
Katanya, tiada keperluan ketika ini MN didaftarkan yang merencamkan lagi situasi politik Malaysia. Cukup MN menjadi majlis perundingan wakil ketiga-tiga gabungan.
“Kesimpulannya, MN adalah lawan sebenar PH kerana boleh mengikat PN, BN dan diharapkan selepas ini disertai pula oleh GPS. Sudah pasti wajah baru MN ini atau MN 2.0 ini amat digeruni PH,” katanya.– HARAKAH