KOTA BHARU | PAS sudah mendapat mesej yang jelas tentang ucapan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya pada persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, hari ini.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari turut menyifatkan ucapan Ahmad Zahid sebagai ‘gentleman’ dengan tidak menyindir dan membidas parti itu.
“Ucapan Presiden UMNO lebih terang dan bersuluh, ia tidak menyindir dan membidas PAS, atau menyalahkan ‘pihak-pihak tertentu yang berselindung di sebalik slogan perpaduan ummah’ atau menyifatkan ‘PAS sebagai senyap-senyap berbaik dengan BERSATU’ seperti ada ucapan sebelum ini.
“Saya sifatkan ia ucapan yang gentleman. PAS sudah mendapat mesej itu. Sama ada ia selari atau tidak dengan pendirian PAS, kita tentunya boleh membuat telahan,” katanya dalam kenyataan facebook miliknya.
Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat mesej yang lebih jelas kerana turut hadir persidangan itu.
“Apa sikap PAS seterusnya akan ditentukan oleh pimpinan tertingginya.
“Dari sudut adat dan budaya terhadap tetamu, sebagai pemerhati, kelihatan PAS dihormati sebagai tetamu pagi ini di perasmian PAU 2020. Terima kasih kawan-kawan kita di dalam UMNO,” katanya.
Ahmad Zahid dalam ucapannya memutuskan untuk bertanding secara bersendirian dalam PRU15, dengan menggunakan logo Barisan Nasional.
Katanya, Umno yang mengetuai BN perlu menang paling banyak kerusi untuk kembali menjadi parti dominan dalam kerajaan gabungan selepas itu.
“BN telah memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian. Biar saya jelaskan, once and for all, untuk Umno menjadi dominan semula selepas PRU15, pertamanya kita mesti menang kerusi terbanyak.
“Kedua, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita,” katanya dalam ucapan dasar PAU 2020, hari ini.