KUALA LUMPUR | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadangkan memberi penjelasan terhadap keputusan menangguhkan pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun supaya tidak menimbulkan salah faham.
Dewan Profesional Bumiputera Malaysia dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan keputusan penangguhan itu tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak.
Menurut kenyataan itu, ‘roadshow’ dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) misalnya diadakan supaya penjelasan masalah teknikal yang dihadapi dapat difahami oleh belia.
“Dewan Profesional Bumiputera Malaysia yakin bahawa ramai anak muda telah bersangka baik dan bersikap positif terhadap keputusan ini.
“Dewan ini juga amat optimis bahawa anak-anak muda tidak sabar menanti pelaksanaan undi 18 tahun kerana ia membolehkan mereka membantu memperkasakan kerajaan dan negara.
“Anak muda zaman ini amat bijaksana dan mereka komited untuk mengundi dan memperkuatkan kerajaan,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, bagi anak-anak muda, harapan mereka ialah agenda pembangunan perniagaan dan penyediaan peluang pekerjaan dapat diperhebatkan.
“Kita berpendapat bahawa anak- anak muda tahu menilai antara intan dan kaca.
“Mereka dapat membezakan pihak yang hanya mahu undi untuk kepentingan politik merebut kuasa dan mengejar jawatan berbanding mereka yang sangat gigih membantu menangani pandemik Covid- 19,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.