KOTA BHARU | Meskipun tarikh PRU15 masih lagi menjadi tanda tanya, namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Bharu sudah menyusun gerak kerja untuk bersedia menghadapi ‘peperangan’ tersebut.
Biarpun baharu bertapak namun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Zawawi melihat jentera parti sudah menyusun strategi dengan sebaik mungkin.
Mohamed Farid berkata, justeru seluruh jentera yang ada juga perlu memainkan peranan terbaik dan bekerja lebih kuat untuk berdepan dengan parti lawan.
“Alhamdulillah gerak kerja ke arah PRU15 sudah bermula. Masing-masing sudah bersedia untuk memastikan Parlimen Kota Bharu memihak kepada BERSATU.
“Jentera sudah bekerja. Baguslah. Apabila semboyang pilihan raya dibunyikan kita (BERSATU) di Kota Bharu boleh bertindak dengan cepat kerana masing-masing telah bersedia,” katanya.

Beliau ditemui sempena perasmian Rumah Sri Kandi Kota Bharu di sini yang disempurnakan Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Hadir sama, Ketua Penerangan Bersatu Negeri Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria dan Ketua Srikandi BERSATU Kota Bharu, Rozainee Nawawi.
Dalam masa sama, Mohamed Farid juga turut menasihatkan seluruh jentera untuk tidak sesekali lemah semangat dan sentiasa berjuang dalam memastikan kemenangan BERSATU pada PRU 15 nanti.
Katanya, dalam perjuangan sudah pasti akan ada cabarannya dan jerih perih itulah yang menjadi pembakar semangat membawa perjuangan BERSATU bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.