KOTA BHARU | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menghormati keputusan yang dibuat Presiden UMNO bahawa tiada kerjasama antara kedua parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, pihaknya sudah menjangka pendirian yang diumumkan oleh UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
Katanya, kenyataan untuk tiada kerjasama dengan dengan BERSATU sudah kerap kali diucapkan oleh UMNO.
“Kita sebenarnya lebih kepada rasa terkilan daripada terkejut kerana pimpinan tertinggi UMNO gagal mengasingkan agenda peribadi daripada agenda yang lebih besar iaitu Penyatuan Ummah, Penyatuan Melayu dan Bumiputra yang telah diusahakan sudah begitu lama.
“Kita di BERSATU sangat mengalukan UMNO dan PAS untuk bersama dalam Perikatan Nasional pada PRU15 nanti.
“Ia adalah demi perpaduan dan pengukuhan ummah. Tidak ada yang lebih penting daripada agenda tersebut,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Dailog Penerangan Bersatu Malaysia Negeri Selangor di Hotel Wyndham Acmar, Kelang tengahari tadi.
Majlis tersebut adalah rangkaian sesi penerangan BERSATU seluruh Malaysia kepada jentera penerangan negeri dalam memperkasakan jentera PRU15 oleh Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Mohamed Farid yang juga, Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, turut menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Katanya, kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang yang mendesak Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC dari UMNO meletakkan jawatan tidak membantu suasana.
“Saya kecewa dengan kenyataan tersebut, ianya tidak membantu ke arah menjernihkan suasana yang sudah tegang, malah boleh mengeruhkan lagi keadaan.
“Apakah kita akan membenarkan dan mengiakan kenyataan Prof DiRaja Engku Aziz berdekad yang lampau bahawa ‘Penyatuan Melayu hanyalah khayalan’, katanya.
“Kita di BERSATU telah dan sedang berusaha dengan sepenuh keikhlasan untuk membuktikan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar,” katanya.