MACHANG | Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengguna pakai pendekatan advokasi dan nasihat dalam menangani isu kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim, berkata pendekatan itu diambil sebelum sebarang tindakan berbentuk penguatkuasaan undang-undang JPJ diambil.
Katanya, langkah pertama dilakukan dengan mengeluarkan notis temu siasat mengikut Seksyen 114 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan siasatan dan pengumpulan maklumat (advokasi dan nasihat).
Menurutnya, manakala melalui pengeluaran notis arah periksa kenderaan mengikut Seksyen 61 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan notis larangan penggunaan kenderaan (Notis PG1) di bawab Seksyen 59 (1) akta sama, dikeluarkan apabila kenderaan motor disyaki melakukan kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran.
“Pada masa sama, pemilik diberikan peluang untuk membaiki atau menukar ekzos yang mematuhi pembuatan dan kegunaan ditetapkan sebelum dibawa semula ke mana-mana pejabat JPJ sebagai bukti pembaikan terhadap ekzos.
“Cuma yang menjadi isu sekarang adalah pihak pengguna terutama remaja yang membuat ekzos perrukaran modifikasi ini sudah diberi tempoh 14 hari menghadirkan diri tapi gagal melakukan demikian.
“Kita terpaksa mengeluarkan notis JPJ P22 iaitu saman mengikut Seksyen 114 seperti mana juga dikeluarkan pihak polis. Ini kerana mereka gagal hadirkan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat ke Stesen Penguatkuasaan JPJ Labok, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kesalahan menggunalan ekzos bising motosikal hanya dikenakan tindakan advokasi iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata perkara itu sudah dimaklumkan pihak JPJ supaya pesalah tidak dikenakan tindakan saman.