KOTA BHARU | Keputusan UMNO untuk memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) dan bergerak sendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah dijangka.
Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin
berkata, keputusan itu sudah dijangka, namun beliau dan rakan-rakan redha dengan keputusan yang dibuat UMNO.
Katanya, beliau dan kawan-kawan akan terus berkhidmat bagi membantu rakyat selain membantu kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita akan fokus dan paling penting adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan membantu seramai boleh.
“Kalau kita sentiasa bercakap pasal politik, orang pun jemu. Jadi sebab itu saya lebih suka bantu dan minta masyarakat mengambil peluang yang ada termasuk dalam bidang perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sriwanis Shop Koperasi Warga Kubang Kerian di Peringat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pelbagai tuduhan UMNO yang dilemparkan terhadap kerajaan PN seolah-olah parti itu mengata diri sendiri.
Katanya, dalam PN bukan hanya ada BERSATU semata-mata sebaliknya turut dianggotai oleh PAS dan UMNO.
“Kena ingat kerajaan PN hari ini bukan terdiri daripada BERSATU semata-mata. Bukan hanya daripada PAS sahaja tetapi ada juga menteri dalam kalangan UMNO,” katanya.