KOTA BHARU | Majlis kenduri kahwin tanpa permit di Kelantan menjadi punca kes Covid-19 di negeri itu meningkat termasuk peningkatan kluster baharu.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata, polis akan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan di negeri itu sama ada mempunyai kebenaran atau tidak.
Katanya, pihaknya mendapati banyak kenduri dan majlis sosial diadakan tanpa memohon permit terlebih dahulu dengan pihak berkuasa.
“Oleh itu mulai hari ini mana-mana penganjur majlis sosial yang gagal memohon permit akan dikenakan kompaun minimum RM1,500 hingga RM10,000.
“Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (jkkn) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
“Orang ramai diingatkan supaya membuat permohonan dengan pihak polis terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang majlis termasuk majlis perkahwinan.
Beliau berkata, mulai hari ini, polis akan perketat prosedur operasi standard (SOP) di negeri kelantan dengan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas itu di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin, berkata kerajaan negeri dukacita apabila kes covid-19 di kelantan meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu.
Katanya, perkara itu disebabkan kealpaan dan kelalaian orang ramai dalam mematuhi SOP.
“Hari ini kita rasa sedikit dukacitalah dengan penerangan Jabatan Kesihatan Negeri di mana kalau ikut sejarah kita pernah kosong kes dan kawasan hijau 80 peratus. Namun tiba-tiba naik kluster baru dan kluster sedia ada belum selesai.
“Jadi dengan kenaikan kes semasa kita bimbang ceritanya sama pematuhan SOP dan program penyebab kes tersebar iaitu program komuniti kenduri kahwin perjumpaan tahlil dan sebagainya.
Katanya, disebabkan kecuaian dan kelalaian pihak berkenaan menyebabkan kes Covid-19 di Kelantan meningkat termasuk peningkatan kluster.
Sehingga kini, sebanyak 5,342 kes positif covid 19 di kelantan dan terdapat sebanyak 16 kluster aktif.