BACHOK | Seorang pesara tentera yang cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak ditemui lemas di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Juhairohafizan Juhari, 35, yang beralamat Kampung Gong Chengal, Jelawat ditemui pada jam 2.50 pagi pada jarak 50 meter dari tempat kejadian.
Manakala, kanak-kanak, Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, dari Kampung Aman, Jalan Tok Bali yang cuba diselamatkan oleh pesara tentera ditemui selamat pada jam 11 malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, kanak-kanak itu ditemui dalam jarak 300 meter dari lokasi kejadian oleh nelayan yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat.
“Mangsa yang lemas dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat, manakala mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, operasi berkenaan ditamatkan pada jam 3.32 pagi tadi selepas kesemua mangsa ditemui.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki, Mohd Bahudin Mat Shah, 46, diemui lemas kira-kira jam 6.50 petang, manakala dua lagi masih hilang dalam kejadian di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, semalam.