JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor masing-masing akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hala tuju kerjasama dengan UMNO Johor, esok dan Rabu ini.
Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian, berkata kedua-dua mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU.
Osman yang juga Ahli Jawatankuasa PN Johor dan bekas Menteri Besar Johor berkata, agenda membincangkan hala tuju kerjasama dengan UMNO Johor itu akan menjadi agenda utama dua mesyuarat berkenaan.
Katanya, ia susulan kenyataan terbuka Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) semalam, yang disifatkan bukan sahaja menghina Muhyiddin selaku Perdana Menteri malah memperkecilkan BERSATU, yang memberi sokongan kepadanya bagi menubuhkan kerajaan Johor, tahun lalu. “Mesyuarat BERSATU Johor dijadual berlangsung malam esok akan disertai 26 ketua bahagian, manakala mesyuarat PN Johor pula lusa. Namun kedua-duanya akan dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Keputusan sama ada kerjasama dengan UMNO Johor akan diteruskan akan ditentukan kepemimpinan selepas selesai kedua mesyuarat berkenaan. “Kami ahli akar umbi BERSATU Johor sangat kecewa dengan kenyataan terbuka Hasni yang bukan sahaja tidak beralas terhadap Muhyiddin malah penuh keegoan.
“UMNO Johor mungkin terlupa dengan sokongan BERSATU Johor yang membolehkan parti itu dapat menubuhkan kerajaan negeri. Esok-esok, jangan datang mengemis simpati dan melutut lagi pada kami, macam dia buat dahulu,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Hasni ketika berucap pada PAU 2020 dilaporkan berkata, UMNO Johor perlu diberi autonomi untuk menentukan strategi bagi menghadapi pilihan raya di negeri itu.
Hasni dilaporkan berkata, biarpun UMNO Johor sebelum ini bercadang memberi laluan kepada Muhyiddin untuk terus bertanding di Pagoh, beliau berkata, sokongan terhadap Perdana Menteri jauh lebih rendah berbanding sokongan terhadap UMNO.
Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara AMANAH (sembilan) dan PKR pula (empat).
Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.
Mengulas lanjut, Osman berkata, keegoan UMNO Johor yang membuat kenyataan terbuka yang tidak beralas serta menghina itu akhirnya memecahkan tembelang yang lama disimpan parti itu.
“Saya nak tanya apa sebenarnya yang sudah dia capai sejak setahun menjadi Menteri Besar.
“Jika UMNO Johor mendabik dada mengatakan parti itu paling kuat mengapa kawasan Pulai Sebatang di Pontian yang dia sebagai Ketua Bahagian UMNO boleh tewas pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) selain banyak lagi kerusi yang tewas dengan majoriti besar di Johor, ” katanya.