KOTA BHARU | Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin secara nekad mengatakan sehingga ke saat ini, beliau tidak pernah sesekali menyesal meninggalkan UMNO kerana parti itu tidak pernah berubah.
Mas Emieyati yang juga Naib Ketua Srikandi BERSATU Malaysia itu berkata, gerak hatinya untuk meninggalkan UMNO hampir tiga tahun lalu tepat memandangkan sikap ‘tidak comel’ parti berkenaan masih terbawa-bawa dan sangat ketara semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2020.
“Saya dulu bekas Ketua Puteri UMNO Malaysia, tetapi saya mintak maaf apa yang berlaku dalam PAU 2020, bendanya tidak berubah.
“Saya melihat ucapan yang dilontarkan setiap juru cakap, perwakilan dan sayap-sayap telah dinaratifkan atau ‘diorkestrakan.
“Jurucakap tidak boleh cakap lebih, dia kena cakap yang pimpinan nak dengar. Minta maaf saya sebut, saya tidak ralat keluar daripada UMNO,” katanya dalam ucapan sempena perasmian Rumah Srikandi di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Zawawi dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria serta Ketua Srikandi BERSATU Kota Bharu, Rozainee Nawawi.
Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut mempersoalkan apa yang dilakukan UMNO dalam PAU 2020 lalu.
“Dalam perhimpunan Agung UMNO, apa yang mereka perjuangkan? Hanya percakaran dan menunding jari terhadap BERSATU.
“(Sedangkan) kerajaan Peringkat Nasional (PN) hari ni bukan hanya BERSATU semata-mata, tetapi juga ada Menteri Kanan datangnya daripada UMNO.
“Menteri yang uruskan Covid-19 juga datang daripada UMNO, menguruskan kesihatan negara juga UMNO,” katanya.
Sinis Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, sekiranya kerajaan PN gagal maka kegagalan itu harus ditanggung bersama jangan menunding jari kepada BERSATU sahaja.