KOTA BHARU | Inisiatif Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Bharu mewujudkan Bank Makanan (Food Bank) harus dicontohi oleh bahagian yang lain dalam membantu meringankan kesempitan hidup rakyat.
Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin berkata, semua pihak sedar bahawa pandemik Covid-19 telah membawa kesan terhadap sosial, ekonomi dan kesihatan di negara ini dan dunia.
Menurutnya, ramai yang dibuang kerja dan menghadapi pelbagai kekangan dalam kehidupan namun dengan adanya Bank Makanan itu rakyat sedikit lega.
“Ini membuktikan pucuk pimpinan BERSATU amat prihatin dalam menyantuni masayarat dalam kesempitan.
“Bermula dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri yang terus fokus untuk membantu rakyat.
“Tidak kira apa cakap-cakap yang cuba mengganggu gugat, Perdana Menteri tetap dengan fokus beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya kepada Journal Malaysia.
Terdahulu beliau juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merasmikan Rumah Srikandi Kota Bharu.
Majlis turut dihadiri dihadiri Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Zawawi.
Bercakap perkara sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, BERSATU akan meneruskan kerja-kerja menyantuni masyarakat di akar umbi.
“Rakyat akan merasa mereka mempunyai tempat untuk bergantung dengan adanya Bank Makanan disediakan BERSATU Kota Bharu ini. Langkah sangat baik,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Farid berkata, Bank Makanan tersebut disediakan di tiga lokasi iaitu di Dewan Sri Sepuluh, di Panji dan di rumahnya di Berek 12.
Bank Makanan di Dewan Sri Sepuluh akan diuruskan oleh Srikandi, manakala di Panji dikendalikan oleh BERSATU bahagian serta di rumah beliau diuruskan oleh ahli keluarga.