KOTA BHARU | Bagi membantu masyarakat yang memerlukan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Bharu menyediakan bantuan menerusi Bank Makanan (Food Bank).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia, Dato Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, Bank Makanan berkenaan disediakan di tiga tempat iaitu di Dewan Sri Sepuluh, di Panji dan di rumah beliau di Berek 12.
Katanya, Bank Makanan di Dewan Sri Sepuluh akan diuruskan oleh Srikandi, manakala di Panji dikendalikan oleh BERSATU bahagian serta di rumah beliau diuruskan oleh ahli keluarga.
“Kami akan menyantuni masyarakat yang memerlukan di parlimen Kota Bharu dalam keadaan ekonomi yang agak terumbang ambing terutama dalam menghadapi musim pandemik COVID-19.
“Keperluan masyarakat yang amat kritikal dan kami akan cuba membantu semua masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Dewan Sri Sepuluh di Lorong Long Yunus di sini, hari ini.
Dewan berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin.
Mengulas lanjut beliau berkata, di dewan berkenaan, pergerakan Srikandi Bahagian Kota Bharu menjalankan kesemua kegiatan dan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan juga aktiviti menghadapi pilihanraya.