KOTA BHARU: Polis Kelantan menasihatkan orang ramai supaya mengadakan majlis keramaian termasuk perkahwinan dengan bilangan jemputan yang sesuai bagi mengelak permohonan mereka ditolak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jemputan perlukan mengikut kapasiti lokasi yang dicadangkan dan jangan lebih.
Katanya, jika jumlah jemputan melebihi had, pihak polis akan menolak permohonan dan mencadangkan lokasi lain untuk majlis mereka.
“Kita ingatkan penganjur supaya mengadakan majlis dengan jumlah jemputan yang sesuai bagi mengelak permohonan ditolak.
“Tindakan tegas ini kerana pihak kita mahu semua penganjur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19,” katanya ketika ditemui di Program Ketua Polis Kelantan bersama Komuniti Balai Polis Nilam Puri sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke- 214 di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan penganjur mengikut SOP, beliau mengarahkan semua ketua polis daerah supaya menyediakan satu format khas bagi penganjur mengisi borang untuk mengadakan majlis perkahwinan dan keramaian.
“Format berkenaan disediakan kerana ada segelintir penganjur yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Dalam borang itu penganjur
perlu mengisi lokasi majlis dan berapa jumlah jemputan mereka. Jumlah jemputan mestilah tidak melebihi had,” katanya.