KOTA BHARU | Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi menyelaras dan mengatasi isu penderaan serta penganiayaan di taman didikan kanak-kanak (Tadika) kelolaan kementerian itu.
Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata perbincangan itu akan dilakukan dalam masa terdekat untuk mencari penyelesaian secara holistik supaya isu penderaan di Tadika tidak berlaku lagi.
Katanya, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana walaupun Tadika seluruh negara di bawah Kementerian Pendidikan, namun Akta Kanak-kanak 2001 masih dibawah bidang kuasa KPWKM.
“Berhubung video yang tular baru-baru ini, kami di kementerian sangat memandang serius walaupun Tadika sebenarnya di bawah kuasa Kementerian Pendidikan, manakala taman asuhan kanak-kanak (Taska) pula barulah bawah KPWKM.
“Sebab itulah kita akan berbincang macam mana nak menangani masalah itu terutama urus tadbir Tadika berkenaan.
“Apapun, kita serahkan isu ini kepasa pihak berkuasa supaya siasatan dan tindakan dapat diambil terhadap mana-mana individu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepasa media selepas Penutup Karnival Kerjaya Wanita Kelantan 2021 anjuran KPWKM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Sebelum ini, tular klip video berdurasi 10 saat memaparkan seorang guru wanita mengangkat dan menghempas seorang murid lelaki sambil disaksikan murid Tadika lain, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asiaten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya sudah memanggil guru terbabit bagi mendapatkan keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.