KOTA BHARU: Sektor pelancongan akan dijadikan sumber pendapatan utama bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil bumi termasuk balak.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, bagi merancakkan industri tersebut, kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Kelantan akan menaik taraf kemudahan serta menambah artifak di muzium.
Katanya, kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu merangka perancangan bagi menarik pelancong tempatan dan antarabangsa, namun ia terhenti kerana pandemik Covid-19. “Beberapa tahun lepas antara usaha yang kita meningkatkan sektor pelancongan di Kelantan sebagai salah satu sumber hasil dan pendapatan kerajaan negeri.
“Kerana kita tidak mahu bergantung kepada hasil balak sahaja, sebelum penularan wabak Covid-19 ada peningkatan jumlah kedatangan pelancong,” katanya selepas meninjau perkembangan Muzium Perang di sini hari ini.
Muzium terbabit sebelum ini dikenali Bank Kerapu. Muzium itu menyimpan artifak peninggalan tentera Jepun.
Hadir sama Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.
Mohd Amar berkata bagi memastikan hasrat itu tercapai kerajaan negeri berusaha untuk menambah muzium antara Muzium Pertanian di Tumpat dijangka beroperasi akhir tahun ini.
Selain itu kerajaan negeri kini berusaha untuk menambah artifak kronologi sejarah Kelantan yang panjang khususnya berkaitan dengan Kelantan Purba sebelum era penjajahan.
Kata beliau walaupun Kelantan mempunyai struktur sejarah yang panjang, namun perkara tersebut tidak dapat didokumentasikan untuk tatapan generasi yang akan datang.
“Di luar negara benda-benda ini penting, muzium mereka hampir lengkap dokumen sejarah dan artifak, sebaliknya kita ketinggalan.
“Jadi inilah yang akan kita usahakan untuk naik taraf kemudahan dan juga bahan pameran kerana suatu masa lagi akan jadi tidak bernilai,” katanya. – HARAKAH