KOTA BHARU | UMNO diseru untuk berfikir lebih mendalam mengenai keputusannya bergerak secara bersendirian menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Malaysia, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, jika boleh UMNO perlu lakukan solat tahajud dan istikharah dalam soal ini.
“Saya menyerulah supaya UMNO berfikir dengan lebih dalam lagi dan mungkin bersolat tahajud dan istikharah agar mendapat petunjuk ALLAH SWT.
“(Doakan) supaya ditunjukkan dan diangkat perkara yang baik dan dikaburi perkara yang tidak baik,” katanya ketika ditemui Journal Malaysia selepas perasmian Rumah Srikandi Kota Bharu, semalam.
Perasmian disempurnakan Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin dan turut dihadiri Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria.
Mohamed Farid yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata, kenyataan UMNO memang sudah dijangka namun pihaknya lebih kepada terkilan.
Soalnya, kenapa UMNO tidak dapat melihat satu agenda yang lebih besar daripada agenda peribadi.
“BERSATU tidak ada agenda lain kecuali penyatuan ummah, penyatuan bumiputera dan orang Melayu. Perkara ini lebih besar sebenarnya,” katanya.
Pada Ahad, UMNO memutuskan bertanding bersendirian dan menggunakan logo serta lambang BN dalam PRU15.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bukan riak dan sombong untuk bertanding sendiri sebaliknya mahu dominan dalam pembentukan kerajaan.
Katanya, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama.