KOTA BHARU | Rasa pilu dan sedih, itulah luahan Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dalam laman sosial Facebook miliknya sebaik sahaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
Katanya, hati kecilnya tetap merasa pilu kerana partinya, UMNO mengisytiharkan perpecahan.
“Mereka begitu konsisten berjuang dan meletakkan agenda penyatuan di hadapan.Nada yang dahulunya di garap bersama (UMNO, BERSATU dan PAS) satu ketika dulu.
“Apapun saya tidak akan berputus asa. Dengan saki baki kudrat yg masih ada, saya istiqamah berjuang atas paksi membawa UMNO ke dalam ‘jajaran asal’.
“Berpaksikan penyatuan parti-parti Melayu bersama parti sahabat yang lain untuk menentang Pakatan Harapan dan yang bersama mereka,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Ketereh, walau banyak halangan beliau akan terus mempertahankan penyatuan ummah yang sudah dibina sebelum ini.
“Perjuangan menyatu padukan ummah dengan berpegang pada tali Allah dan jangan bercerai-berai, ia akan terus dipikul, di kelek dan di junjung.
“Hubungan baik dan gerak perjuangan akan diteruskan dengan kesemua 13 parti dalam gabungan PN dan UMNO tidak mungkin bergerak sendirian.
“Apa lagi bertempur sesama parti Melayu yang hanya menguntungkan parti sosialis DAP dan ‘liberalist’ PKR. Insya-Allah, kita terus berjuang,” katanya.