KUALA LUMPUR | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS akan mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).
Menerusi kenyataan media bersama yang dibuat oleh Setiusaha Agung Parti BERSATU dan PAS, kepimpinan tertinggi kedua parti sudah mengadakan pertemuan semalam.
Kata kenyataan itu, kepimpinan tertinggi BERSATU diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PAS diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi merangka hala tuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam PN.
“Kepimpinan tertinggi BERSATU dan PAS telah bersetuju dengan ketetapan asas untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU 15.
“BERSATU dan PAS, selaku antara Parti Pengasas Utama PN akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju Parti khusus bagi menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi,” katanya hari ini.
Menerusi kenyataan itu juga, segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti-parti komponen.
“BERSATU dan PAS bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan Pakatan Harapan dan sekutunya.
“Kedua parti sentiasa komited untuk mengukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut, sekaligus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia
terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama.
“Untuk itu, BERSATU dan PAS menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputra terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya.