KUALA LUMPUR | Kerajaan Persekutuan perlu menghormati bidang kuasa negeri dengan tidak menggubal sebarang undang-undang berkaitan agama tanpa persetujuan.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata ini berikutan terdapat pandangan supaya menggubal sahaja undang-undang berkaitan agama dan ‘paksa’ negeri untuk menerimanya.
“Memang selalu orang sampaikan pandangan pada saya supaya kami gubal dahaja undang-undang berkaitan agama dan ‘paksa’ negeri untuk terima, tanpa perlu nak runding-runding.
“Kata mereka lebih mudah untuk Kerajaan Persekutuan kerana kita tidak perlu berunding dengan negeri dan tidak timbul kemudiannya isu undang-undang yang berbeza antara setiap negeri,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau, malam tadi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tidak perlu berbuat demikian kerana Kerajaan Persekutuan harus menghormati bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita perlu ingat bahawa, kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutuan hari ini datang daripada kuasa yang diserahkan oleh Raja-raja Melayu ketika proses rundingan pembentukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berjaya ditubuhkan hanya apabila semua pihak yang terlibat dalam rundingan bersetuju antaranya bahawa Islam adalah urusan negeri-negeri.
Oleh sebab itulah, menurutnya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang merupakan inti pati perjanjian antara Persekutuan dan negeri dalam hal berkaitan agama Islam perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak.
“Hal ini termasuklah dalam perkara yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.
Pada masa yang sama, katany, Kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranannya yang tersendiri dalam memperkasa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Atas dasar inilah, kita akan terus mencari ruang untuk mengharmonikan peranan dan bidang kuasa antara Persekutuan dan Negeri dalam hal ehwal Islam.
“Proses penyeragaman juga kita cuba usahakan melalui jalan yang dipersetujui kedua-dua pihak, dan sebenarnya banyak yang sudah kita capai dengan cara yang harmoni, alhamdulillah.
“Jika ada kesempatan, mungkin saya boleh kongsikan mengenai kejayaan dan usaha berterusan yang kita telah lakukan dalam mengurangkan ketidakseragaman undang-undang Syariah,” katanya.