KUALA LUMPUR | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan yang kesemua menteri UMNO akan terus kekal berada dalam kerajaan.
Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, beberapa orang Menteri daripada UMNO memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini.
“Menteri-menteri daripada UMNO telah menemui saya pada hari Isnin 29 Mac 2021. Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung Umno bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan BERSATU dalam PRU-15.
“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
“Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara,” katanya hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, beliau saya tidak mahu peletakan jawatan daripada kabinet menjejaskan segala perancangan Kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam kabinet.
“Dengan kesempatan ini saya memberi jaminan bahawa kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti dirancang,” katanya.
Isnin lalu, beberapa menteri dan timbalan menteri dari UMNO dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehari selepas parti itu meluluskan resolusi memutuskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam perhimpunan agung pada Ahad.
Pertemuan tersebut berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada pukul 5.30 petang bagi membincangkan kedudukan mereka dalam kerajaan.