KUALA LUMPUR | Pelaburan berimpak tinggi di Widad@Langkasuka mampu semarakkan sosio ekonomi rakyat terumatanya di negeri Kedah.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pelaburan tersebut.
Katanya, kerjasama startegik antara Widad Business Group bersama konglomerat UAE, Bin Zayed Group dalam membangunkan Widad@Langkasuka di Langkawi Kedah amat diperlukan.
“Pembangunan hasil pelaburan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40 bilion adalah ‘game-changer’ yang akan menyemarak pembangunan sosio ekonomi rakyat khususnya di Negeri Kedah.
“Apatah lagi, ianya akan membuka 15,000 peluang pekerjaan serta memberi manfaat kepada lebih 1,000 usahawan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, pelaburan berimpak tinggi bukan sahaja melibatkan pembangunan hartanah tetapi beberapa perkara lain.
“Antara yang bakal terlibat adalah institusi pengajian dan prasarana kesihatan agar selari dengan dasar pelaburan baharu Kerajaan yang berfokuskan teknologi tinggi, berkualiti dan moden.
“Justeru, Pemuda Perikatan Nasional ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali di atas kejayaan membawa masuk pelaburan ini ke Malaysia.
“Kita yakin, pelaburan ini juga mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan dan kewibawaan Kerajaan Perikatan Nasional khususnya dalam usaha pengurusan COVID-19 dan
pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Bin Zayed International LLC (BZI), konglomerat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan hasrat untuk membantu membawa masuk pelaburan sehingga RM100 bilion dari negara itu ke Malaysia susulan hubungan akrab yang sedia terjalin antara kedua negara.